KIBLAT YANG SATU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Air mata menitis mengguris jiwa. Embun di pagi hari menggigit tubuh menyejukkan hujung jari-jemari. Cuaca sejuk di Durham, UK kini di musim autumn sudah mula memperlihatkan keajaibannya. Namun, mata yang membaca mampu mengabaikan apa yang dirasa.

Terasa-rasa sedihnya berjauhan dengan sahabat yang ikhlas menjalin ukhuwah. Sanggup melepaskan diri ini pergi menuntut ilmu di jalan Allah. Betapa, kuasa Allah mengurniakan mulia sekeping hati merelakan kepergian seorang sahabat, melepaskan segala kenangan yang kuat terpahat, di jiwa seorang hamba Allah semata-mata mencari redha-Nya.

Hati ini semakin terguris. Gerimis menitis hujan di luar rumah tidak sedikitpun menarik perhatian akal waras ini. Mesej yang dihantar di facebook, lebih menarik perhatian. Apatah lagi inilah luahan hati dia, ingin berbicara dengan diri ini tetapi sering tak kesampaian. Dek kepadatan jadual harian dalam mendaki kejayaan.

Air mata ini menitis lagi. Wahai sahabat, ampunkanlah diriku.. Mungkin kepercayaan yang kau letakkan terlalu tinggi. Tidak menyamai apa yang telah diri ini ciptai. Tidak menyimbangi apa diri ini mengimpi.


Saya tak semulia itu sahabatku.

"Jauhmu dariku adalah kerana Allah.
Sepimu dariku adalah kerana kesibukan seharianmu sebagai penuntut ilmu.
Senyapmu adalah kerana jadualmu padat sebagai pejuang agama Allah.
Diammu adalah kerana dirimu dikelilingi sahabat-sahabat yang soleh solehah."

Begitu saya petik kata-kata dari mesejnya.

"Dan aku hanya terdaya meminta dan terus meminta dari Allah agar sentiasa memelihara sahabat yang aku cintai ini dengan sebaik-baik penjagaan. Kerana, hatiku selalu yakin bahawa tiada penjaga yang lebih hebat jagaannya selain dari Allah yang Esa. Hatiku terpujuk, jiwaku menunduk, perasaanku terduduk..."

Ketahuilah. Selama hati kita bergelar sebagai seorang 'pejuang'. Destinasi kita antara dua. Kejayaan atau kematian. Andai kejayaan, moga-moga semuanya mengalir dalam keberkatan. Andai kematian, semoga kita mati dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Tujuh bulan, adalah saat yang ketika itu saya rasa amat panjang. Tapi kini, saya seolah-olah meminta agar semuanya berulang.

Wahai manusia, sahabat itu bukanlah semua. Bukan segala-galanya. Bukan juga hilangnya akhir dunia.

Kata ayah, kawan itu ada di mana-mana. Hidup kita tak bergantung pada seorang kawan. Yang bergantung itu KITA. Ingin mencari teman sejati, hati mesti berbudi, amal kebaikan tak boleh menyepi, hubungan dengan Ilahi jangan bertepi. Dan jadikan diri sendiri sebagai teman sejati. Barulah, menanti akan kehadiran sahabat sejati.

Sahabat, adalah yang perantara yang menyokong padu dalam membina pelangi. Salah satu warna pelangi adalah UKHUWAH. Silaturrahim yang terbina kerana Allah.

Dalam setiap ukiran hidup manusia, setiap epilog hidup insan, setiap detik mencatat kenangan, pasti tercipta lembaran persahabatan.

Dalam persahabatan pula, sering terisi anasir-anasir baik mahupun sebaliknya.

Justeru itu, saya sendiri sering 'terikut' dengan sifat/kelakuan teman-teman. Perilaku yang asli entah ke mana. Keimanan yang teguh semakin rapuh. Asas agama semakin sepi dari melingkari jiwa.

Kerana itu, Ummi lebih meyakini untuk berjauhan dari kebanyakan pengaruh yang tidak baik untuk kebaikan anak-anaknya. Semakin berputik rasa kasih dan sayang dalam membentuk peribadi muslim soleh solehah. Walau terpaksa menanggung beban kewangan yang lebih terasak susahnya.

Namun, semua itu hanyalah duri-duri cabangan 'tanduk' yang menguji keimanan. Angkuh, benci, amarah dan dendam semua itu hanyalah jarum-jarum syaitan yang ingin merosakkan rencana hidup seorang insan.

Kiblat yang satu

"Di saat mereka memandang rembulan, melempar pandangan pada keluasan langit, menjatuhkan hati memandang debu tanah yang berhembus perlahan... Aku tidak mampu menutup rasa hatiku, kerana kita sebenarnya punya KIBLAT YANG SATU. Hanya itu yang mampu mendamaikan ripuh gelora kalbuku saat merindui dirimu wahai sahabatku."

Apapun, setiap perjanjian dengan lafaz "Inni uhibbuki fillah" adalah perjanjian yang termeterai antara dua jiwa dalam mengharungi liku-liku perjuangan. Dengan lafaz ini, berjanjilah, untuk bersatu berganding bahu dalam menuju kiblat yang satu.

Hablu minallah wa hablu minannas. Hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Kunci yang membawa nur kejayaan dalam hidup seorang insan.

"Salam Mawaddah wa Rahmah..

Hati ini pilu saat menerima warkah dari 'sekeping hati' yang nun jauh di lautan sana. Walau di mana 'pejuang Allah' berada, semoga dalam rahmat dan limpah kasih-Nya, sebagai singa Allah yang menegakkan agama.

"Farah I" yang ana rindui,

KIBLAT YANG SATU. Itu adalah destinasi utama kita sebagai hamba-Nya. Dugaan, ujian, cabaran yang kita tempuhi semuanya adalah duri-duri dalam menuju kiblat cinta Ilahi. Memaku rapi segala cita-cita kita yang telah kita aturi.

Selama hidup ini, pengorbanan mesti dilakukan untuk berdiri di puncak kehidupan. Ketahuilah, inspirasi kejayaan adalah PENGORBANAN.

Antara pengorbanan itu, inilah yang sedang anti lakukan. Berjauhan dari seorang pejuang yang nun jauh di seberang lautan. Padat urusan hariannya semata-mata kerana Allah.

Percayalah, andai hilang harta, tidak mengapa. Hilang sahabat, usah terasa. Hilang kekasih, jangan alpa. Tetapi hilang agama, jatuhlah wahai air mata. Moga permata air basahan syurga itu melindungi tubuh dari azab neraka.

Akhirnya, semoga anti terus tetap bersabar, ikhlas berjuang, terus mendaki sehingga ke puncak tertinggi hidupmu.

Salam Ingatan dari,
~*♥ Iffah ♥*~

Begitu saya akhiri coretan kata buat sahabat yang jauh di mata.

Moga-moga, dengan itu akan bercambah rasa kasih, menambah putik iman dalam melayari dugaan kehidupan.

Dengan itu, akan menyusuri indahnya PERSAHABATAN.

Bittaufiq billah!

Wa Ilalliqa' YA RABBAL 'ALAMIN..

Mencari Dan Terus Mencari Damai Yang Hilang

Jumpa Lagi, Insyaallah..


Comments

Popular Posts