Muqaddimah

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, Pemurahnya DIA dengan izinNya mempunyai kesempatan untuk menulis pada masanya. Namun, komitmen sebagai pelajar Year 10 mungkin menyebabkan keperluan meluangkan masa untuk pelajaran lebih utama buat seketika. Afwan andai jarang menulis. Moga bermanfaat apa yang ada :)

Thursday, 31 March 2011

BERSAMA AYAT CINTA

Seorang wanita dibelai oleh teman lelakinya. Si lelaki menutur kata sarat cinta mengharap teman wanitanya mendengarnya.

Si wanita mendengar penuh gembira. Terasa hidupnya berbunga-bunga. Sang lelaki tidak berpuas hati. Diutusnya surat mengandungi bait-bait ayat cinta darinya. Si wanita menghargai. Dibacanya berulang-ulang kali.

Persandingan berlangsung. Sepanjang pernikahan, sang lelaki memanggil isterinya. Mengharap panggilan disahut. Iya, panggilan suaminya tak pernah diabaikan. Bukti cinta luhur dihulurkan.


Saya termenung.

Luhurkah cintaku?

Adakah cinta seseorang yang dirindui itu berbalas? Seperti cinta sang lelaki di atas?

Adakah aku mampu mencintai dan menghargai, seperti wanita di atas?

Si lelaki menutur kata, mengharap si jantung hatinya mendengarnya.

Allah menutur kata sarat cinta, menyuruh wanita menjaga auratnya kerana Allah sayangkan golongan wanita. Dia berharap kita mematuhiNya.

Berbalaskah cintaNya?

Sang lelaki mengutus surat bersama bait-bait ayat sastera cinta di dalamnya. Dia berharap wanita itu membacanya. Berulang kali. Menghargai.

Allah mengutus surat bersama ayat-ayat cintaNya melalui Al-Quran. Sesiapa yang membacanya beroleh pahala berkali ganda. Menjulang-julang tingginya jika ikhlas tanpa bersandiwara. itulah cinta luhurNya.

Berbalaskah cintaNya?

Sepanjang pernikahan, sang lelaki memanggil isterinya. Berharap si isteri menyahut dan segera datang kepadanya.

Allah memanggil kita. Laungan azan lima kali sehari tanda Dia rindukan sendu rintihan hambaNya. Segeralah datang kepadaNya. Solat di awal waktu dibalas pahala. Solat yang ikhlas penuh rindu dibalas keimanan tanpa culas. 

Adakah kita segera menyahut? Atau melewatkan? Adakah kita rindukan Dia? Adakah kita kensunyian tanpaNya? Di mana bukti cinta luhur kita?

Merdu bacaan Qari dan Qariah menyapa gegendang telinga. Ada perasaan insaf mengusap rasa. Saya keluar sebentar dari dunia pelajar dan kini mendengar bait-bait cinta dari Tuhanku dan Tuhanmu. Saya tenggelam... Bersama ayat cinta.




Mencari Dan Terus Mencari Damai Yang Hilang

Jumpa Lagi, Insyaallah...

Monday, 28 March 2011

PASRAH DAN MENYERAH KALAH ITU BERBEZA

Alhamdulillah, ini hanya catatan hati yang biasa dari hati saya Tidak mahu menekan pada apa-apa peringatan yang memberatkan selain perkongsian mengenai perjalanan kehidupan.

Pasrah dan menyerah kalah itu berbeza. Ya, ianya berbeza!

Tuesday, 15 March 2011

MEHNAH DI BUMI UK(Bahagian5:Akhir)

Saya cuba membalas komen di facebook dengan pantas. Tiada masa untuk duduk tenggelam bersama kemanisan berbicara sesama manusia. 

Begitu banyak matapelajaran yang perlu diulangkaji. Kedudukan saya di kelas tertinggi sentiasa menagih tenaga yang masih bersisa untuk menelaah pelajaran.

Adakalanya, saya dihimpit kemalasan yang teramat, tertekan dengan keadaan. Namun, satu malam yang cerah dengan hidayah sentiasa membuatkan saya bersemangat untuk berjuang dalam gelumang seorang pelajar. Malam itu, sentiasa menaikkan semangat saya untuk terus belajar dan terus belajar. Tanpa saya sedari, semangat itulah yang membawa seribu erti dalam menggapai bintang di pentas kehidupan ini.

MALAM YANG CERAH BERSAMA HIDAYAH

Di atas katil, saya duduk bersimpuh dalam memegang hati yang lara. Tiga bulan pertama saya di sini, saya tak mampu menyerasikan diri dengan keadaan yang jauh berbeza. Di Malaysia seberat mana pun orang menghina, saya tetap punya kedudukan sebagai pengawas dan mereka juga hanya dapat menghina dengan perkataan yang amat 'terhad'. Itupun kerana mereka tahu saya dapat bertolak ansur.Sementara di sini, yang dapat saya lakukan hanya bersabar walaupun saya mempunyai hak untuk membawa perkara seperti ini kepada pihak sekolah. Namun, saya memilih untuk terus bersabar dan sedikit sebanyak ia menjejaskan semangat saya untuk belajar di perantauan.

Di Malaysia, keletihan saya dalam sehari-hari tidak pernah menghentikan usaha saya. Kerana saya begitu yakin di hujungnya adalah deretan A di dalam keputusan peperiksaan dan pahala yang berganda kerana membantu agamaNya. Itulah harapan yang saya sematkan jauh di dalam hati. Pelajar yang ingin berjaya dan ingin bekerjaya pastinya mengharapkan kegemilangan yang menjulang tingginya, dan saya adalah salah seorang yang mengimpikan keadaan seperti itu.

Di waktu itu, saya tidak terhenti-henti membandingkan keadaan saya di Malaysia dan di bumi UK ini. Jauh di tengah malam yang kelam, saya menangis  bersama semangat yang hilang.
                                                                        **************
Saya bangkit dari tidur bersama nafas yang tersesak-sesak. Ketakutan menjengah, andai apa yang saya mimpi itu adalah realiti. Saya melihat sekeliling bilik saya, fahamlah saya bahawa saya hanya bermimpi.