LANGKAH YANG TELAH TERCIPTA

Semalam aku kelukaan
kecewa kehampaan
mencalar ketabahan
mimpi yang sering ku harapkan
menjadi kenyataan
namun tak kesampaian


Allah
Inginku hentikan langkah ini
bagaikan tak mampu untukku bertahan
semangat tenggelam
lemah daya
haruskah aku mengalah
namun jiwaku berbisik
inilah dugaan!

"Honestly I cried when I watched this. <3 . "

Itu yang saya tulis tatkala saya kongsikan nasyid Langkah Tercipta by UNIC di facebook.

Lirik yang sangat mendalam.



Kekuatan

tak dilontarkanNya ujian
di luar kekuatan
setiap diri insan

"Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan dengan kesanggupannya"(2:286)

Sungguh, mengeluh akan setiap perih yang ditanggung oleh setiap yang bergelar hamba itu umpama bahan untuk membuat makanan.

Wujudnya bahan, maka wujudlah makanan.

Dengan makanan itulah yang akan menyihatkan badan, mengisi ruang tenaga dan dengan tenaga itulah kita gunakan sama ada untuk berbuat kebaikan atau kejahatan.

Begitulah hidup kita. Kita punya nyawa dan dari nyawa itulah wujudnya kehidupan. Kehidupan kita pula kemudiannya diisi pula dengan ujian. Dan ujian itulah yang mengetuk pintu hati kita tentang realiti.

Selalu sahaja saya, terbang di awangan imaginasi. Mengukir impian di peta hidup seharian. Mengimpikan kejayaan, sungguh ia merupakan satu nikmat yang dikurniakan Tuhan. Tidak semua imaginasi itu satu fantasi kerana cita-cita juga satu imaginasi dan mimpi juga satu imaginasi. Hanya, imaginasi itu mungkin khayalan atau azimat yang menjadikannya buah peluang untuk menjadi realiti.

agar mimpi menjadi nyata
padaMu ku meminta

Jika saya jujur, satu-satunya yang menjadi azimat saya adalah apabila ramai umat keliru antara yang ilusi dan realiti. Niat mereka begitu murni, sangat suci untuk agama Ilahi tetapi hakikatnya mereka hanya berdiam diri di takuk lama tanpa membuat apa-apa tentangnya.

Hanya mengukir dan mengukir impian semata. Sedangkan ia sepatutnya pemangkin usahanya.

Contoh yang begitu dekat adalah asyik menginginkan Palestin tercinta bebas dari cengkaman derita. Tetapi tak juga belajar.

Ingatlah wahai sahabat, umat islam perlukan ilmu. Saya semakin sedar bila berada di sini, mereka begitu jauh ke depan. Sedang kita masih lagi begini di belakang. Ada yang tertidur. Ada yang merangkak. Ada yang berjalan. Dan Alhamdulillah ada yang berlari. Pelbagai ragam dan ironi, namun insyaallah saya berharap semuanya adalah menuju redha Ilahi.

Mimpi, sesungguhnya pada saya ia akan menjadi penyuntik azimat kekuatan. Ia yang membantu pembinaan kekuatan untuk membina empayar perjuangan yang lebih hakiki.

Saya juga sering begitu. Melayari imaginasi, menghayati ruang fantasi yang terlakar di dinding langit sehinggalah dugaan yang Allah berikan membenarkan realiti memukul-mukul hidup ini. Semoga, kejayaan yang menjadi imaginasi saya hari ini akan membaluti realiti kehidupan saya, suatu hari nanti, Insyallah.

Inilah langkah saya

Inilah langkah saya. Walaupun saya tahu saya jenis seorang yang agak 'geli-geleman' dengan darah. Setakat tengok gambar organ-organ sahajapun terloncat.

Namun, manusia hanya merancang Allah yang menetukan.

Saya mengalami kekaburan jawapan hati mengenai cita-cita saya. Tetapi hari demi hari saya rasa serasi dengan subjek Biologi walaupun saya akui susahnya ia.

Sekali lagi imaginasi saya dipukul realiti. Saya hanya berada di UK dalam beberapa tahun sahaja. Satu hari nanti saya akan berada di Malaysia dan saya tak pasti bagaimana saya di Malaysia nanti.

Jujur, saya tak berapa senang dengan sistem pembelajaran Malaysia.

Namun, saya hidup untuk hari ini. Biarlah urusan masa hadapan saya itu di tangan Allah. Jalan saya masih jauh. Dan buat sahabat-sahabat saya, jangan mengalah. Langkah ini sudah tercipta. Kerana itu sambunglah ia dan jangan berputus asa. Menuntut ilmu itu mesti seiring dengan cita-cita, walau ia kabur di mata pada saat ini, namun percayalah pada Yang Maha Kuasa kerana Dialah yang menetukan segala.

Yang penting, langkah yang sedia ada ini mesti disambung sehinggalah ke garisan penamat iaitu kematian.

Semoga kita, yang bergelar hamba ini terus istiqamah.

Dan jangan lupa, ayat-ayat cintaNya setia menemanimu...

"Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman."(3;139)


"Sesungguhnya setiap kesukaran itu disertai kemudahan bersamanya.."(94;5)
Jangan mengalah!

Mencari Dan Terus Mencari Damai Yang Hilang

Jumpa Lagi, Insyaallah

Iffah Nabiha Ahmad Jailani

Comments

Popular Posts