Muqaddimah

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, Pemurahnya DIA dengan izinNya mempunyai kesempatan untuk menulis pada masanya. Namun, komitmen sebagai pelajar Year 10 mungkin menyebabkan keperluan meluangkan masa untuk pelajaran lebih utama buat seketika. Afwan andai jarang menulis. Moga bermanfaat apa yang ada :)

Monday, 25 July 2011

KERANA SAYANG

Kereta meluncur laju ke arah destinasi. Saya masih dengan perangai saya sejak dua tahun yang lepas, jikalau tahun-tahun sebelum itu saya masih bersifat keanak-anakan (ketika itu saya berada di Malaysia), saya suka duduk di tengah kerana dapat merasa penghawa dingin dengan lebih dekat berbanding duduk di tepi. Namun, mencecah usia akhir sepuluh tahun, saya mula berubah watak dan lebih senang termenung, memerhati alam, berfikir jauh lebih banyak dari tahun-tahun sebelumnya.

Dan saya masih dengan tabiat saya, ahli keluarga yang lain sibuk bersembang, adik-adik kadang kala bergaduh sesama sendiri, manakala saya hanya berdiam diri. Jarang mereka berani menegur saya kecuali Ayah. Hanya Ayah seorang yang biasanya jikalau saya diam tidak berkata apa-apa, dia akan bertanya sesuatu yang dapat menarik saya dari berfikir lebih jauh.

Namun, tidak kali ini. Ayah seolah-olah dapat mengesan yang saya ingin bersendiri. Begitulah sikap saya semenjak kecil, jika saya ada masalah yang saya rasa saya mampu lakukannya sendiri, pasti saya akan memendamnya di sudut hati. Jarang sekali singgah ke pengetahuan Ummi dan Ayah, hanya perkara-perkara besar sahaja yang mereka tahu.

Lamunan saya semakin jauh, meneroka ke segenap alam. Bila melihat gunung ganang, hati saya disapa oleh rindu dan sayang, terhadap insan-insan yang dipisahkan oleh benua dan lautan.

Saya teringatkan senarai blocklist saya di facebook, sepatutnya bilangan friends saya jauh lebih banyak dari yang sekarang, namun disebabkan saya asyik memblock pengguna, angkanya menurun. Saya tidak kisah, bukannya angka dan glamour yang ingin saya kejar, tetapi prinsip saya, Allah adalah tujuan dan RasulNYA adalah jalan.

Saya teringatkan perbualan antara teman-teman perempuan saya dan pelajar lelaki, risau saya mula menyinggah di hati. Bukan kerana apa, saya sayangkan kawan-kawan saya.

Saya teringatkan guru-guru saya, tudung di kepala kian berubah imejnya. Bukan kerana apa, tetapi kerana saya sayangkan mereka.

Tempohari, sehari sebelum sekolah ditamatkan, sekolah saya mengadakan rombongan ke Flamingoland buat pelajar-pelajar yang mematuhi peraturan, memperoleh positif referral yang banyak dan cemerlang dalam peperiksaan semester ini. Di dalam bas, ramai yang muntah-muntah. Saya sendiri terasa pening bila bau yang kurang enak memenuhi bas, dan akhirnya walau saya hanya naik kereta, saya akan terasa pening yang berlebihan.

"Itu tandanya nikmat dah kena tarik satu." Ayah berkata. Saya hanya tersenyum.

Semalaman hingga ke pagi ini, suhu badan naik dan kepala mula pening yang tak habis-habis. Saya bersyukur kerana sakit ini tidak datang sewaktu saya berada di sekolah, yang mana saya yakin saya akan mengganggu pengajaran si guru. Terbatuk-batuk, tak selera makan, semakin mengingatkan saya kepada Ayah ; Itu tandanya nikmat dah kena tarik satu!

Walau sakit melanda, walau lemah daya, ia tak pernah menarik semula kerisauan saya. Di dalam buku catatan, saya meluahkan segala yang terpendam di hati sekian lama. Saya tahu saya tak akan mungkin boleh menegur secara straight away pada guru-guru saya. Saya tahu kawan-kawan saya susah nak menerima teguran, akhirnya air mata sahaja yang menjadi peneman.

Ditambah pula, tayangan yang menjadi kontroversi kini, Tahajjud Cinta, semakin membuatkan saya sedih. Tidak ada bezanya filem ini dengan drama-drama melayu yang lain, hanya serban di kepala, tudung labuh di tubuh, niqob di muka, bumi Jordan sebagai tempatnya. Itu sahaja.

Tetapi itulah fitnah kepada agama yang kian membarah dalam dunia yang semakin senja. Golongan yang menonton ini, adalah seperti saya, hingga yang dewasa. Golongan muda, generasi yang akan memimpin negara... Jikalau salah faham mengenai mendekati zina tetap tidak berubah, nampaknya nasib negara Islam untuk mengukir kembali kegemilangan yang pernah terjadi di masa silam, hanya tinggal mimpi semata.

Saya baca lagi kometar oleh barisan pelakon, "Tak bolehlah terus menghukum."

Iya, berdasarkan kata azimat, kita hanya pendakwah, bukan penghukum tetapi, jika ingin tunggu hingga beratus-ratus episod yang akan datang, baru nak tegur, anggarkan berapa ramai pula yang menontonnya? Berapa banyak pula adegan wanita berniqab bermain mata dan kata dengan seorang yang bergelar Ustaz? Berapa banyak pula dosa dan fitnah yang kian membarah dan membeku dalam agama?

Saya risau. Risaukan kawan-kawan, risaukan guru-guru, risaukan mad'u, dan.. Risaukan generasi muda ini.. Saya teringatkan pesan para guru dan pensyarah yang pernah menetap di bumi Durham, "Jangan duduk di UK lama-lama ya."

Pesan itu menunjukkan mereka juga risau dengan mereka yang sebaya saya, dan seterusnya... Bumi Malaysia ini, kian gersang oleh kerinduan dan kecintaan yang menggunung terhadap Tuhan... Kalimah

LAILAHAILALLAH mesti ditegakkan, jika ingin dunia islam diselamatkan, dari ikhtilat yang berpanjangan.

Tiada lain sebab saya menuliskan semua luahan ini, semua kerana sayang......................Andai perasaan sayang ini mampu dirasakan oleh generasi, bahawa saya rindukan keindahan Islami berkubu di Malaysia ini.

Sungguh, hanya kerana sayang....

Iffah Nabiha Ahmad Jailani
11:50 pagi, United Kingdom
25 Julai 2011

Thursday, 14 July 2011

BICARA BUAT HATI

Hati...

Andai engkau kecewa, ingatlah itu seharusnya membawamu untuk dekat denganNYA

Andai engkau bersedih, ingatlah bahawa yang diuji itu hanyalah hamba yang terpilih

Andai engkau gembira, ketahuilah jangan sampai kegembiraan itu menggiringmu ke dalam kebinasaan di neraka

Andai engkau mencemburui makhlukNYA, jangan sampai engkau cemburu hingga ALLAH cemburu padamu

Andai engkau menyayangi sesuatu, maklumilah bahawa segala yang ada di dunia ini fana

Akan pergi jua, maka persiapkanlah diri dan rohani, untuk menerima kehilangan bagi setiap yang dimiliki

Andai engkau menyayangi si dia,jangan sampai engkau menangisi pemergian atau kehilangannya, jangan sampai engkau merindui susuk tubuhnya, hingga lebih engkau rindui, lebih engkau sayangi, lebihi engkau cintai, lebih engkau ingini dari menatap wajahNYA di syurga.

Kekecewaan yang ditanggung olehmu pada tiap sesuatu itu, lebih baik ditanggung, daripada engkau menanggung kehilangan... Kehilangan kelazatan iman, kesirnaan kebahagiaan dalam berbuat kebaikan, dan kehilangan kedamaian, keredhaan, dan kerestuan dari TUHAN.

Biarlah hati...


Menanggung semua ini


Itu lebih baik dari


Mendapat murka ILAHI


Aku redhai semua ini


Sesungguhnya


DIA, amat mengetahui


Atas apa yang terjadi


ALLAH, bantulah hati-hati ini


Untuk redha pada ketentuanMU


Hanya engkau yang memahami


Hanya engkau yang mengerti


Gejolak perasaan, milik hamba yang tidak berdaya lagi


Bantulah, bantulah hambaMU...


Untuk thabat mencintaiMU


Hatiku terpana


Laksana nikmatnya cinta bersamaMU


Inginku tergolong dalam golongan yang Kau restu...


Laksana mereka yang diutarakan dalam ayat cintaMU

"Ada juga di antara manusia yang megambil selain Allah (untuk mejadi) sekutu-sekutu(Allah), mereka mencintainya,sebagaimana mereka (seharusnya) mencintai Allah, sedang orang-orang beriman itu amat besar cintanya kepada Allah........"(Al-Baqarah : 165)


IFFAH NABIHA AHMAD JAILANI

Mencari Dan Terus Mencari Damai Yang Hilang

Jumpa Lagi, Insyaallah

14 Julai 2011