BUNGA BUNGA IMPIAN



Hidup ini sungguh mengasyikkan.

Memukau pandangan, di saat insan melakar impian.

Terlupa pada realiti kehidupan, lalu mencipta angan-angan, baik yang berpijak di bumi nyata, yang jauh ke hujung dunia, mahupun hanya fantasi semata.

Manusia mencipta impian, sesuai dengan kehendak hati yang menginginkan. Bagi yang beriman, nafsu ditundukkan, lalu iman yang memanjat harapan.


Bagi mereka yang beriman, impian itu bukan sekadar impian, mimpi bukan sekadar mimpi, impian diteruskan bersama untaian doa menjulang tinggi buat Sang Rabbi. Kerana orang-orang yang beriman itu tahu, hakikatnya Illah sangat mencintai mereka yang bergantung penuh kepada Rabbi.

Surah Al-'Araf  ayat 55 menjadi bukti. Bahawa amalan berdoa ini disanjung tinggi.


"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri...."
(7:55)

Di bulan Ramadhan ini, julanglah setinggi-tinggi harapan. Allah amat mencintai orang-orang yang meyerahkan diri, memohon dan bergantung padaNYA, memuji-muji diriNYA. Kerana tiada sesiapapun yang lebih gembira dipuji sebagaimana gembiranya Allah tatkala dipuji (Pernah disebut dalam sebuah hadith, namun saya lupa hadithnya).

Itulah perbezaan impian orang yang beriman. Berbeza dengan mereka yang tidak bergantung kepada Allah. Dirasakan hidup tanpa bertuhan itu tidak susah, begitulah apabila membutakan hati, hingga Allah tidak lagi menghiraukan golongan ini lantas hati dibutakan dan ditulikan secara terus hingga tak mampu menemu hidayah. Di saat murka Allah menimpa golongan ini, itulah azab Allah yang keras di dunia, tatkala Allah tidak lagi kisah pada golongan ini.

"Maka (mengapa engkau berdukacita wahai Muhammad) adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak(untuk mendengar kebenaran) [berubah menjadi] mendengar atau menunjuk jalan kepada orang yang buta(hatinya) dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?" [43;40] 

Orang yang beriman, impiannnya bukan hanya buat diri. Tetapi juga impian bagi meneruskan risalah yang disampaikan oleh Nabi. Kecintaan Baginda buat ummat, dijadikan pedoman untuk turut mengasihi umat ini. Orang yang beriman, akan turut menghambakan diri demi menyampaikan sepotong ayat cinta Illahi buat umat ini.

Orang yang beriman tidak hanya menangis untuk diri sendiri, tetapi juga untuk Islam agama yang fitri. Melihatkan ummat, orang yang beriman akan melakar impian, betapa indahnya andai hidup ummat ini akan diisi dengan kecintaan yang menggunung tinggi buat Ilahi, alangkah baiknya andai waktu ini tidak hanya dibazirkan dengan keseronokan duniawi, menyanyi-nyanyi dan memuja-muja artis barat kini. 

Disamping melakar impian orang yang beriman akan memanjatkan doa, moga-moga janji Allah dicepatkan bahwa Islam pasti menang. Orang yang beriman akan yakin dengan Allah, bahawa tiap impiannya yang baik tak akan disiakan. 

Ciptakan bunga impian buat ummat ini. Di samping impian diiringi doa, usaha buat menyeru dan terus menyeru jua diaplikasikan. Bagi yang menuntut ilmu, teruskan menyemat azam dan impian untuk merangkul kejayaan. Ciptakan impian dan cita-cita yang tidak hanya nafsi-nafsi. 

Layari bahtera kehidupan ini dengan semangat perjuangan, bahawa ilmu adalah hasil, iman merupakan pengisi, islam merupakan cara, Kalamullah sebagai panduan, ALLAH sebagai TUJUAN, dan RASUL sebagai JALAN.

Mekarkan bunga impian, impianku agar muslimah kini lebih manis menjadikan malu sebagai penghias iman. Gambar tidak terlalu banyak dalam laman sosial lagi, penuh dengan posing yang pelbagai memenuhi. Impianku diciptakan lagi, agar muslimah kini lebih menyedari bahawa mereka adalah manusia akhir zaman. Ku ingin muslimah kini menyedari, andai para insan memuji-muji kecantikan mereka, itu bererti terdapat unsur nafsi dalam kepingan gambar milik mereka. Sekalipun nama Allah memenuhi ruang komen, tetapi itu hanyalah topeng bagi menghalalkan pujaan semata.

"Indahnya ciptaan Allah.." itu bukanlah sebenarnya memuji ciptaanNYA, tetapi memuja wanita sebagai ciptaan melebihi dari Sang Tuhan. Buktinya, andai diletakkan gambar orakan awan memenuhi langit yang membiru, titisan embun lirihan dedaun, rimbunan pepohon yang tercipta dari kehendak dan izin ALLAH, tiada sekalipun apa-apa pujian yang memenuhi.

Ku layarkan lagi impian, andai muslimah-muslimah ini menyedari, andai banyak yang memuji, sekalipun aurat rapi tertutup namun muslimah yang mengerti, akan beristighfar kerana dia telah menyebabkan para insan memujinya secara berlebihan, hingga ALLAH diketepikan.

Betapa indahnya dunia ini andai muslimah solehah adalah perhiasan yang memenuhi dunia. Pasti syurga dunia itu terasa. Ku layarkan impian lagi, andai mereka yang mengucapkan 'terima kasih' kepada artis bertudung yang menulis hadith dan peringatan agama agar menerimanya kerana Allah, bukan kerana itu adalah dari artis kesayangan mereka semata.

Ku cipta impian lagi. Andai ku bukanlah seorang yang 'penakut' dengan darah, dan berani dan tidak mudah menangis tatkala melihat yang lain menangis, tak perlu ku fikirkan berjuta kali untuk membuat pilihan cita-cita. Ingin ku menjadi seorang doktor yang dapat merawat rohani dan jasmani pesakit. Tidak hanya merawat sakit pada fizikal, tetapi sakit pada tiap hati yang berpenyakit kerana terbawa jauh oleh hidup nafsi-nafsi.

Indahnya melakar bunga impian!

Bunga-bunga impian terus mekar di hati tiap manusia yang mengharap tinggi pada Rabbul Izzati. Biarkan kisah hidup semalam bersemadi oleh waktu silam, agar tidak terbelenggu oleh rasa tidak mampu berimpian. Kerana impian mencipta harapan, harapan menyegarkan usaha, usaha mencipta jaya.

Inshaaallah!


A dream is not necessarily just a dream!

Mencari dan terus mencari damai yang hilang

Jumpa lagi, Insyaallah

Iffah Nabiha Ahmad Jailani

12 Ramadhan 1432H / 12 Ogos 2011M

Comments

Macedonia said…
Assalamualaikum,

Iffah, adik saya...Allah telah jemput dia pergi, malam ini, malam 25 ramadhan, dia kemalangan lepas balik tarawih..baru 16 tahun, esok insyaallah dikebumikan, saya tak sempat jumpa dia...saya dekat Pahang,dia dekat Kedah. x sempat bercakap cuma sempat sms...tapi dia tetap hidup dalam hati saya...

4 dah jadi 3, saya terasa mcm nak ikut dia balik jumpa Allah. Nampaknya Allah pilih dia dulu, sebelum saya.

i'm alright...insyaallah
Mashaallah, Innalillahi wa inna ilaihi raji'un..

Bagi mereka yang sakit, mungkin mereka menjangka hayat mereka tak lama. Lalu mereka bertaubat sejhabisnya. Sedangkan kita yang sihat wal afiat seharusnya lebih beringat, kerana boleh jeadi kemalangan, atau apa-apa yang tidak terjangka. Subhanallah, mari kita beringat ya.

Akak, sabar ya! Allah tak pernah timpakan ujian ni pada saya kerana DIA tahu saya tak sekuat akak. Akak yang terpilih, yang tercalon!

Adik akak mengharap doa, Alhamdulillah, dalam bulan Ramadhan dia bertemu Kekasihnya. Doa saya juga untuk dia, namanya siapa?

-Allah merindui rintihanmu-

Salam takziah dari saya sekeluarga...
Macedonia said…
terima kasih Iffah dan keluarga...

Mohd Izzat Bin Mohd Nordin, ni la nama adik saya.

ehm, insyaallah, saya cuba untuk menjadi hamba Allah yang baik...

Bila-bila masa Allah boleh panggil saya pulang, kehilangan tu, buat saya rasa, saya perlu jadi lebih kuat, dan berharap saya dapat jumpa lagi dengan ahli keluarga saya, untuk hari kebangkitan semula...dalam keadaan husnul khatimah, insyaallah.

^_^
Salam (assalamualaikum), rindu..
buat Iffah dan keluarga.
Erk, ingatkan perempuan. hehe.

Alhamdulillah, akak tabahkan hati ya... Makin sayang DIA pada akak nanti. insyaallah.

salam rindumu disambut! (^_^)

doaku.buatmu.
Iffah

Popular Posts