HARAPAN 13 TAHUN, HARAPAN RAMADHAN

13 tahun yang lalu...

Panas sangat sewaktu di Air show semalam....

1 Ogos 1998 tarikh berakhirnya penantian sepasang suami isteri yang menantikan kelahiran anak sulungnya. Disebabkan bayi perempuan ini mengalami masalah posisi dalam kandungan ibunya, dia yang sepatutnya dilahirkan pada waktu pagi dilahirkan menerusi pembedahan pada sebelah petang. Jam 6:22 petang, ibubapanya begitu bersyukur kerana dia diizinkan oleh ILLAH untuk meneroka dan mengembara di dunia ini. Azan dan iqamat dari si Ayah dikumandangkan, bersama air mata kesyukuran. Bayi itu dinamakan Iffah Nabiha binti Ahmad Jailani, membawa erti maruah yang dipelihara.



Cucu pertama bagi sebelah ayah yang dinanti-nanti oleh Nenek dan Atuknya. Ibu saudaranya yang berusia 7-9 tahun ketika itu sering bermain dengannya. Cucu perempuan kedua bagi sebelah Umminya yang begitu rapat dengan Wan, ibu kepada Ummi bersama Aki, Ayah kepada Ummi.

Tiada abang atau kakak di atasnya, membuatkan dia begitu disayangi oleh si ayah. Begitu rapat dengannya, tiap kali Ayah pulang dari ceramah di waktu malamnya, dia akan dicium sambil ketawa bersama Ayah. Tabiatnya sewaktu kecil yang sering disebut-sebut oleh saudara-saudaranya adalah dia lebih senang berjalan di atas lutut dari berada di atas kaki.

Namun, usia yang hanya setahun lebih lalu beroleh adik ternyata mengubah perjalanan hidup dan personalitinya. Saat adik lelaki pertamanya dilahirkan di Kelantan, Ayahnya meninggalkan dia bersama Wan di kampung untuk dijaga. Ketika si Ayah pulang, dia masih tidak menjangka apa erti 'adik baru' yang bakal menjelma. Menyorok di belakang Wan tika Wan menyambut Ayah di muka pintu, dia mengalihkan muka lalu berkata,"Cakkkkk..." kepada Ayahnya. Masih memikirkan Ayah kesayangannya  adalah miliknya mutlak, tidak perlu dikongsi dengan yang lain.

Namun si Ayah pulang bersama adik lelaki. Apabila perhatian si Ayah dan Ummi perlu dibahagi dua kepada dua cahaya mata, dia tidak dapat menerimanya. Sering berkecil hati dan berjauh hati setiap kali permintaan atau kemahuannya tidak dipenuhi.

Ummi semakin sibuk mengurus adik lelaki dan tugasan gurunya. Tugasan seorang guru memang berat dan meletihkan di Malaysia, cuti pantang juga begitu pendek di saat itu. Membesarlah si adik dalam jagaan Ummi dan Ayah, Ayah juga ketika itu telahpun mengusahakan firma guamannya bersama rakan kongsinya yang lain, membuatkan mereka kian rancak dan sibuk. Sedikit demi sedikit, dia berkecil hati dan merasakan perhatian yang dahulu miliknya diambil.

Mindanya begitu tertarik pada BUKU di sekelilingnya. Dia ingin tahu, kenapa permintaannya tidak dipenuhi. Memandangkan Ummi dan Ayah sangat sibuk, dia perlu mencari jawapannya di suatu tempat yang lain. Saudara-saudaranya begitu jauh di negeri lain. Buku sangat menarik perhatiannya. Dia mencari di balik helaian. Namun, kerana usia yang tidak sampai tiga tahun, dia tidak tahu membaca. Dia hanya membelek warna-warna yang menarik perhatian. Akibat geram kerana tidak dapat membaca dan menjumpai apa yang dicarinya, dia mengoyak setiap buku yang dijumpainya. Pensil dan pen yang dijumpai 'menoreh' kertas yang ada hingga terhasil lubang-lubang menunjukkan marahnya. Biasanya, setelah itu dia akan menangis kerana marah. Marah, kerana dia tidak jumpa apa yang dicari.

Berkali-kali si ayah terpaksa membeli diarinya baru bagi mencatatkan ceramah yang perlu dihadiri dan kes yang perlu direkodkan. Pun begitu, ia tidak menghancurkan minat si anak terhadap buku. Ia terlalu menarik perhatian.

Melihatkan Ayah yang kadangkala solat di rumah, di semakin hairan. Namun disebabkan 'ayah sibuk' yang sudahpun tertanam di kepalanya, dia tidak bertanya. Ummi juga penat, jadi dia tidak bertanya. Kerana itulah dia ingin mencari suatu tempat yang dapat merungkaikan setiap persoalan di mindanya.

"Apa yang ayah buat? Kenapa Ummi tunduk? Diorang buat untuk siapa?" Semakin banyak persoalan di mindanya.

Mencecah usia empat tahun, Ummi menyedari minatnya terhadap buku. Lalu Ummi mencuba untuk menghadirkan diri puteri sulung ini ke sekolah pada usia empat tahun. Di mana kebanyakan kawan-kawannya hari ini tidak bersekolah pada usia empat tahun.

Hari pertama pergi ke sekolah, di sudah belajar membaca. Tiba waktu pulang, Ummi membawa masuk ke dalam kereta. Dia puas kerana mampu membaca berdikit-dikit kerana baru hari pertama. Dia puas kerana sudah tahu siapa itu Allah yang selalu Ayah sebut di dalam doanya. Dia puas kerana tahu apa itu solat. Dia puas kerana tahu bagaimana hendak solat.

"Ummi, kita nak pergi mana ni?" Dia yang sudah tahu bercakap namun tidak petah bertanya. "Kita balik rumah la." Jawab Umminya.

Mendengarkan perkataan 'rumah', dia menangis lalu berkata,"Iffah nak pergi sekolaaahhh....!" Pening Umminya kerana sikapnya yang ingin ke sekolah. Dia suka ke sekolah kerana sekolah telah merungkaikan persoalannya. Dia ingin belajar membaca kerana buku masih lagi menarik perhatiannya.

Pulang ke rumah, Ummi berbincang dengan Ayah. Mereka mengambil keputusan agar selepas sekolah dia terus pergi ke rumah sebelah sekolahnya hingga jam 6 petang, agar itu dapat mengubati kesedihannya apabila dia dapat duduk di rumah yang hanya di sebelah sekolahnya. Kebetulan, Ayah dan Ummi sudah mengenali tuan rumahnya. Ia juga dapat memudahkan Ummi kerana dapat berehat sebentar di rumah setelah pulang dari mengajar.

Usia empat tahun dia telah mampu membaca dengan lancar. Dia puas dan Ummi sangat gembira. Ummi membeli buku cerita dongeng yang dia dapat membacanya. Dia membaca dengan hati yang sangat gembira. Warna-warna yang dikatakan orang putih sangat mampu bekerja untuk otak sangatlah benar, itu membuatkan dia semakin cintakan buku. 6 bulan berada di tadika itu, guru-gurunya memilihnya untuk membuat persembahan bersama pelajar 6 tahun. Cerita Ummi lagi, Ummi ketawa melihat keseronokan dia yang berpusing-pusing dengan gaun kembangnya!

Usia lima tahun....

Adiknya telah pun memasuki tadika dalam umur empat tahun. Namun, dia ditukarkan sebentar ke Sekolah Tahfiz Al-Islah selama dua bulan. Pada usia lima tahun itu, dia berjumpa dengan sahabatnya yang disayangi hingga ke hari ini, Nur Syifaa Rosidi, Fatimah Az-Zahra' Mustafa, Aeisyah Hanani Siddiqah Harryzan yang amat dikenali guru-guru sekolah itu. Pelajar yang lain dibenarkan ke tandas seorang sahaja, tapi Syifaa, Iffah, Fatimah dan Aeisyah keempat-empatnya dibenarkan untuk pergi bersama!

Namun, dia dipisahkan dengan teman-temannya apabila Ummi menukar dia kembali ke sekolah tadika lamanya. Di situ, dia lancar membaca Iqra' dan membaca buku-buku yang lebih 'dewasa' dan rutinnya untuk pergi ke rumah sebelah selesai persekolahan kembali bersambung bersama adik lelakinya.

Di rumah 'kedua'nya itu, dia memanggil ibu yang menghuni rumah itu dengan panggilan 'Mak'. Dia antara tiga orang wanita yang dia panggil dengan panggilan seorang ibu. Ibu kandungnya dengan panggilan Ummi, Mak dan seorang lagi wanita yang berbudi kepadanya hingga ke hari ini dengan panggilan Mama.

Rumah itu dipenuhi majalah Mestika. Dengan kemahiran membacanya, dia membaca majalah dewasa itu dan dari situlah bermula kematangannya. Usia lima tahun sebenarnya agak kecil untuk majalah setebal itu. Pada usia lima tahun juga, lahirlah pula adik perempuannya yang dinamakan Iffah Nadhila namun namanya lebih dikenali sebagai Nadhila atau gelaran manjanya Baby. Maka perhatian ibubapanya perlu pula dibahagikan kepada tiga. Semakinlah puteri sulung ini berjauh hati dan semakin sensitif.

Usia enam tahun, apabila pulang ke kampung, mukanya semakin dikatakan saudara-saudaranya,"Matang." Di situ dia semakin banyak belajar. Mindanya selalu diterjah oleh pelbagai persoalan tentang alam. "Kenapa Allah tak nampakkan diriNYA? Kenapa anak perlu hormati ibu, menunaikan segala perintah tetapi ibu tak perlu buat pekrara yang sama? (Dia tidak nampak 'budi' sebenar seorang ibu lantaran masanya dihabiskan dengan buku) Kenapa mesti solat? Kalau Allah tu Tuhan, dan DIA Maha Mengetahui, mesti ada hikmahnya." Berjuta soalan yang terpahat di ingatannya, dia tetap tidak menemui jawapannya. Hingga, usianya mencecah tujuh tahun dan mula melangkah ke sekolah rendah.

Di situ bermulalah dia berjuang dengan pelajaran-pelajarannya. Di saat ini, adik lelakinya telahpun dikenal pasti mempunyai satu masalah dengan pembelajarannya. Boleh baca cerita adik lelakinya ini di sini. Pada usia 7 tahun juga, dia sudahpun membaca novel yang tebal-tebal dan majalah dewasa seperti Anis, Hidayah, dan buku-buku milik Ayahnya.

Disebabkan kemampuan membacanya, dia masih mampu berada di kedudukan teratas di dalam kelasnya walaupun ibubapanya sibuk dengan adik-adiknya terutama Nabhan. Saban tahun dia memperoleh hadiah pada setiap Anugerah Kecemerlangan atau (er, saya lupa sewaktu di Tahfiz namanya apa.)

Sekolahnya ditukar-ditukar lantaran ibunya tiada pilihan lain. Mama sering memuji di mana setiap kali ibunya menukar sekolahnya, dia ikut saja. Itu kerana dalam fikirannya,"Asal aku tidak dipisahkan dengan persoalan-persoalan yang mesti aku jawab, sudahlah. Sekolah selalu merupakan tempat untuk aku rungkaikan persoalan aku."

Sikap banyak berfikirnya itu sebenarnya membahayakan akidahnya kerana soalannya tidak dijawab. Sikap guru-guru(kebanyakan, bukan semua) yang biasanya akan berkata,"Eh, sebab memang ALLAH nak buat macam tu lah." dengan nada suara yang tinggi seolah-olah marah membuatkan dia tidak berani bertanya pada 'manusia' lagi. Setiap kekeliruannya disimpan sendiri. Terkadang itu sangatlah membahayakan akidah seseorang apabila ia tidak dijawab.

Dia yakin, itu hanya kerana dia tidak tahu. Agama ini pasti merupakan agama yang benar. Namun kerana dia dipaksa memakai tudung oleh pelajar-pelajar sekolah yang beberapa tahun lebih tua darinya sewaktu di Tahfiz, membuatkan dia tertanya-tanya lagi mengenai HIJAB.

"Kenapa mesti dipaksa? Ummi dan Ayah tak pernah paksa? Wajib ke tidak? Apa hukumnya?Apa hikmahnya?"Minda seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun bersuara.

Sekolahnya kerap kali ditukar. Dia tidak pernah fail untuk menempatkan dirinya di tempat tiga teratas setiap sekali peperiksaan. Namun dia tahu, agama itu pasti merupakan sesuatu yang penting. Itu yang dia temui dalam pembacaannya. Jadi, walaupun dia cemerlang dalam akademik, tetapi kalau agama itu tunggang langgang, dia bukanlah seorang insan yang betul betul berguna. Hanya dapat dipergunakan oleh syaitan.

"Oh, syaitan!" Mindanya mengutarakan persoalan lagi. "Bagaimana rupa syaitan? Kalau tak boleh nampak, macam mana boleh tahu dia wujud? Kenapa ALLAH tak bagi kita nampak Syaitan?"

Semua ini berterusan hinggalah dia berusia 10 tahun. Ketika ini, dia semakin matang. Dilantik sebagai pengawas walaupun dia baru 3 bulan di sekolah itu. Ketika mula-mula masuk sewaktu darjah 3, dia mula mengenali sesuatu.

Pergaulan lelaki dan perempuan. Dia memandang ia sebagai sesuatu yang serius.Di sekolah ini, dia mengalami kejutan budaya yang sangat kritikal. Berada di Tahfiz, pergaulannya dikekang dan dia tahu, bersentuhan lelaki wanita yang bukan mahram itu haram. Majalah Asuh amat digemarinya. Di sekolah kebangsaan ini, dia berubah menjadi seorang yang begitu pemarah apabila lelaki cuba memperlakukan dirinya sama seperti pelajar perempuan yang lain.

Apabila usia 10 tahun, gurunya menempatkan lelaki bersebelahan dengan perempuan. Tidak ada satu pun yang dibenarkan duduk sesama jantina. Dia marah. Dalam marah yang ditahan kerana tahu batas seorang pelajar dengan guru. Dia menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Ini membuatkan dia berubah menjadi seorang yang pemarah serta merta jikalau hatinya bagai 'disambar', (maksudnya apabila dia marah, dia akan menjadi sangat marah :P)

"Dua tahun lagi kamu akan menduduki UPSR. Sepatutnya kamu kena ada study group tak kira lelaki perempuan. Zaman sekarang ni sama sahaja lelaki perempuan."

Usianya ketika itu membuatkan dia kekurangan hujah. Dia akur, tetapi dia tahu itu hanya kerana dia kurang ilmu. Ia merupakan sesuatu yang salah. Salah tetap salah. Cakap tadi cuma alasan. Dia tahu itu. Tetapi dia tahu dia tak mampu untuk bercakap secara kasar dengan seorang guru. Suara itu dipendam, jauh disudut hati...

"Ini bukan tempat saya."

Maulidur Rasul disambut dengan tarian senamrobik bercampur lelaki perempuan. Dia tertekan. Menggunakan kuasa pengawasnya, dia mengelak dari menari. Dia bersyukur kerana jawatan yang digalas itu memberikannya kemudahan untuk apa sahaja, ketika itu dia berpura-pura terlupa bahawa minggu itu dia perlu menjaga kantin waktu rehat tahap 1, lalu dia bergegas menuju ke kantin dan memaksa pengawas yang bertugas di situ untuk membenarkan dia menggantinya.Dia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Agama Islam, di situ dia terlalu tertekan dengan Islam yang diamalkan separuh-separuh, dikurang-kurang dan ditambah-tambah.

 Niatnya menutup aurat ketika bersukan diperlekeh dengan mengatakan 'tidak apa' andai lengan terbuka. Memakai yang labuh juga ditahan dan akan didenda. Semakin kuatlah pengangannya bahawa... Itu bukan Islam. Itu adalah budaya kafir, bertopengkan Islam semata.

Usia 11 tahun...

Sekolahnya ditukar lagi. Kali ini, ke Sekolah Rendah Al-Islah. Pertama kali menjejak kaki, dia sangat gembira dapat mengenakan tudung labuh ke sekolah. Itu melatih dirinya untuk menjadi sangat pemalu. Melihat wajah bersih guru-gurunya, dia menundukkan kepala.

Alangkah terkejut dan gembiranya dia, melihatkan wajah dua pelajar di dalam kelasnya, Syifaa dan Fatimah, teman sepermainannnya sewaktu berusia 5 tahun. 6 tahun berlalu, rindunya pada teman-temannya itu terubat jua. Alangkah indahnya jikalau Aeisyah turut bersama!

Bila menyusuri hari-hari di sekolah itu...Dia mula jatuh cinta pada sekolah itu. Dia bertemu dengan banyak perkara. Dia bertemu dengan cinta pada Islam yang sebenar-sebenarnya, dia tidak mahu berpisah dengan sekolah itu! Dia sayangkan Islam yang diamalkan secara sempurna, bukan separuh-separuh, dikurang-kurang dan ditambah-tambah. Di situ juga bertemu tiga tautan hati yang saling menyayangi. Di situ juga dia kembali belajar soal Aqidah, Feqah dan bertemu dan guru-guru yang amat disayangi hingga ke hari ini. Walau guru-guru ini tidak mengenakan mekap seperti kebanyakan yang lain dijumpai, di matanya gurunya ini terlalu cantik dan istimewa. Dia sangat rapat dengan guru Feqahnya, di situlah dia belajar banyak perkara.

Pada usia inilah, disebabkan persoalan-persoalan yang menghuni fikirannya selama bertahun-tahun semenjak kecil lagi tidak dapat dirungkaikan, dia bertekad melepaskan segala persoalan itu. Walaupun ianya tidak terjawab, namun cukuplah dengan penemuannya pada waktu itu. Islam agama yang benar, itu yang diyakininya.

Suatu hari...

"Apa bukti Tuhan itu wujud?" Ustaz di dalam kelasnya bertanya. "Mana Tuhannya?" Dia menyambung.

Dia melihat teman-teman sekelasnya. Semuanya diam. Dia perlahan mengangkat tangan walau sebenarnya malu.

"Wujudnya alam semesta." Pendek benar jawapannya. Persoalan-persoalan dahulu mula menghantuinya. Dia tidak mahu bertanya kepada Ustaz ini kerana dia masih takut sedikit-sedikit kerana pengalamannya semenjak kecil.

"Ya. Habis tu, ia terjadi dengan sendiri? Tidak. Pasti ada Pencipta. Dan Islam telah mebuktikannya. Nak sembah berhala? Apa berhala tu buat?"

Dia tersentak. Dia fikir jawapan yang dia inginkan akan terjawab. Ternyata tidak. Malah, persoalan yang lama kian menghantui bahkan mula ditambah dengan satu soalan lagi.

"Jikalau begitu, kenapa golongan intelektual tidak menganut agama Islam? Kerana buta hidayah? Tidak, tak mungkin benar begitu. Tak mungkin jawapannya semudah,"Kerana alam ini wujud." Tidak mungkin semudah itu." Dia mengeluh.

UK

Terkejut dan sedih dia apabila mengetahui dia akan berhijarah ke UK. Baru tujuh bulan bertemu dengan Syifaa dan Fatimah. Baru tujuh bulan dia menikmati suasana Islam semula. Baru tujuh bulan dia ingin merapatkan diri dengan guru-guru perempuannya agar dia dapat merungkaikan persoalan-persoalannya walaupun sebenarnya dia telahpun melepaskan semuanya.

Dia teringatkan setiap peristiwa berada di tempat yang tidak Islamik. Dia mengeluh. Dia letih. Letih. Dia tidak mahu lagi berhadapan dengan apa-apa sebegitu.

Namun, dia hanyalah seseorang yang penuh dengan persoalan ingin tahu. Tiada apa yang istimewa tentang dirinya. Dia ingin terus berada di lembah hidayah ini. Tidak mahu menyeksa hati dengan kesedihan iman lagi. Tidak mahu menyeksa jiwa kerana Islam yang separuh lagi.Dia tidak mahu keyakinannya tergugat lagi. Tidak mahu lagi, tidak mahu lagi! Ingin terus berada di sini, itu yang dia tahu.

Namun, dia tetap akur. Dia hanya seorang anak, milik ibubapanya. Dia kini seorang kakak kepada tiga orang adik. Kasih ibubapanya kini perlu dibahagi lagi kepada empat ketika di berusia lapan tahun. Di saat kapal terbang yang dinaiki semakin meninggi dan menjauh meninggalkan bumi Malaysia, air matanya bercucuran hiba.

Dia sedih, dia letih, tetapi dia tidak tahu apa yang menanti di sana...

13 tahun, harapan ramadhan........

Dua tahun berlalu.

Ternyata, di bumi UK ini, prinsipnya semakin teguh dan kukuh berbanding sebelumnya.

Kesemua persoalan yang bertahun-tahun menghuni fikirannya terlerai oleh tarbiyah yang telah ILLAH sediakan di sini.

Walaupun pada awalnya, amatlah perit dan sakit batinnya melawan setiap dugaan yang perlu ditongkah pada tahun pertama dia berada di bumi Durham.

Namun, hari ini, ....

Dia semakin matang oleh pengalaman di sana. Di mula tersedar dan menyedari, pengalamannya ketika imannya diuji ketika berada di tempat 'Islam yang separuh' sebenarnya tarbiah buatnya mengharungi detik-detik di sini.

Dia bertemu dengan cinta Rabbi di tempat yang Islamik adalah kerana ILLAH ingin memperharui iman dan keyakinannya yang hampir-hampir pudar dek kerana kesirnaan hidayah suatu ketika dahulu.

Hari ini, dia bukan lagi remaja yang menagih jawapan yang dipendam saban tahun kerana kekeliruan. Tetapi dia adalah remaja yang berupaya untuk mencari, tiap asbab dan hikmah pada setiap apa yang dilalui dan dijadikan.

Dia sedar, bumi ini memang dijadikan Rabbi untuk tempat menongkah arus kehidupan, tempat untuk mengembara mencari jawapan, tempat yang merupakan medan untuk mengusahakan saham amal yang akan dibawa ke negeri abadi di sana, tempat yang lebih hakiki dan bahagia, tanpa apa-apa kesusahan lagi.

Hari ini, dia menggunakan 'sakit' yang dirasa apabila dijerkah marah kerana bertanyakan soalan 'mengapa' mengenai agama sebagai panduan untuknya menjawab soalan orang lain yang tercari-cari akidah yang sempurna pula. Dia menjadi 'sakit' yang dirasa dahulu sebagai azimat untuk dia menyeru mad'u bahawa inilah Islam, agama yang sebenar-benarnya.

Itu kisah hidupnya semenjak kecil yang menagih jawapan. Bertahun-tahun, akhirnya pada usia 13 tahun dia temukan semuanya. Hari ini, bangkit dengan kesyukuran tidak terhingga, atas setiap apa yang DIA hadiahkan sepanjang hidup ini, yang sebenarnya sarat mengandungi hikmah dan mutiara tersembunyi yang tidak kita ketahui.

1 Ogos tarikh kelahirannya tiba bersama tetamu istimewa. 1 Ramadhan, kau tunaikan harapan 13 tahunku, harapan Ramadhan...

Ramadhan, kau hadir bersama seribu keberkatan, ku pohon, moga-moga dengan setiap apa yang ku lalui pada waktu-waktu yang lepas membuatkan ku layak untuk menerima Ijazah TAQWA yang hakiki di madrasah Ramadhan ini.

Ini hanya sebuah permulaan kepada perjalanan hidupku. Banyak lagi yang mesti ditempuh. Ini hanya sebuah permulaan, jauh lagi hingga ke garisan penamatnya!

Dari kaki sebesar dua jari, jadinya begini... 


Sekian,
Iffah Nabiha Ahmad Jailani
1 Ogos 2011

-MENCARI DAN TERUS MENCARI DAMAI YANG HILANG-
..::Andai kau cari kedamaian, akan kau temui dalam Islam::..

-Selamat menyambut tetamu istimewa-
..::Ramadhan, kau tiba bersama barakah, selamat menjalankan ibadah, meraih ijazah taqwa dalam madrasah Ramadhan::..

Comments

Bidadari Besi said…
Salam sayang dik...(",)

subhanallah....hidupmu penuh dengan warna warni yang begitu bererti dan bermakna dalam menusuri kehidupan yang sememangnya menuntut pengorbanan yang tinggi demi syurga abadi...

Selamat ulangg tahun kelahiran yang ke-13, moga umur yang telah berlalu dan bakal berlalu sentiasa dlm redha Allah s.w.t...ameen ya robb...[^_^]
Alhamdulillah, hidupmu juga penuh dengan warna warni kehidupan yang bermakna, ukhti :')

Berada dalam lembah cintaNYA tu seronok kan? :')

-selamat beribadah,ya-

Popular Posts