Kasih Muallimah

Kau semakin hilang identiti, wahai diri.
Carilah ia semula.

Dahulu, engkau amat sensitif dengan lagu-lagu seperti itu.

Kini, apa pandanganmu?

Lupakah engkau, di tempat itu, dia berkata,

"Ingat Allah sentiasa, nasyid-nasyid dan zikrullah pasti membantu. Lagu-lagu itu, hanya melalaikan. Biarkan ia menjadi yang terakhir dalam pilihan."

Dahulu, engkau amat berhati-hati dengan ikhtilat. Selalu mengambil yang apa yang paling selamat yang dirasakan untuk mawar di taman.

Kini, apa pandanganmu?

Lupakah engkau, di tempat itu, dia berkata,

"Ingat Allah sentiasa ye nak. Sejauh mana kita bersembunyi, Dia tetap nampak. Apa sahaja yang ada di dalam hati Dia sentiasa mengetahui. Peliharalah hati, harapan kami semua sangat tinggi..."

Dahulu, engkaulah yang bangkit menenangkan sahabat-sahabatmu. Dakwah adakah cinta yang begitu indah kau rasakan saban hari. Tetapi kini, apa pandanganmu?

Lupakah engkau, dia sering berpesan...

"Jalan dakwah ini memang penuh ranjau durinya. Hanya yang sanggup menempuhi dan menghadapi segala tohmahan yang beroleh tempat dalam arena ini. Kuatlah ya, kau tidak tahu apa yang menanti di hadapan."

Kini, apa yang tinggal pada dirimu?

Jikalau engkau tiada apa-apa lagi, engkau ingatlah kasih seorang muallimah itu. Pesan-pesan itu diberi bukan sekadar bualan kosong, wahai diri. Mutiara itulah yang jarang sekali dipeduli, walaupun mempunyai nilai yang amat tinggi. Datang dari hati seorang murabbiah. Ikhlas mendidik dan menggilap mutiara agama.

Jikalau engkau tidak mengingati apa-apa lagi, ingatlah..Ingatlah kasih seorang muallimah itu. Kata-kata itu diberi bukan sekadar untuk mencurah ke daun keladi.

Itu adalah kasih seorang muallimah. Telahkah engkau lupa dari mana engkau datang?

Terbit dari kasih seorang muallimah itu jugalah, dia berkata..

"Ingatlah Allah sentiasa, sayang. Dalam keramaian hanya satu yang mengingatiNYA. Tak mahukah nak, menjadi orang itu?"

Muallimah, ana minta maaf!



Mencari dan terus mencari damai yang hilang

Jumpa lagi, Inshaallah

Iffah Nabiha Ahmad Jailani

4 Mac 2012

Ps/ Esok sekolah, fokus, fokus, fokus. Pelajaran itu sungguh mendebarkan. Dalam waktu itu, peliharalah iman...

Comments

Popular Posts