REMAJA YANG MENCARI KEKUATAN...

Subhanallah, wal hamdulillah, wa la ilaha illallah, allahu akbar.

Allahumma solli wa sallim 'ala, sayyidina muhammad, wa 'ala alihi wasohbihi wa sallim tasleema.

Ramadhan sungguh dirindui. Keberkatan bulan itu memancarkan ketenangan bagi hati-hati yang mencari keredhaan.

Tetapi untuk mencari damai, tenang dan kekuatan, bukanlah hanya mengharap pada kebergantungan ke atas bulan Ramadhan sahaja. Ianya adalah madrasah bagi orang beriman untuk melepasinya bersama ijazah taqwa, yang seterusnya memberikan kita kemampuan untuk meneruskan hidup dengan taqwa yang sungguh tinggi kepada Allah SWT.

Seminggu sahaja lagi cuti sekolah bersisa, antara yang saya perbuat selain cuba untuk menyiapkan kerja sekolah adalah juga menghubungi kawan-kawan saya di Malaysia. Masa diperuntukkan di alam maya agak lama berbanding hari-hari biasa. Beberapa sahabat juga turut meluahkan kerinduan, selain berkongsi cerita, suka dan duka.

Ada yang saya tahu ceritanya tanpa perlu si dia membuka cerita.

Dengan hanya melihat News Feed di facebook, dapat diselami perasaannya.

Ketahuilah duhai remaja, masalah itu solusinya mungkin dijumpa, mungkin tidak dijumpa. Yang pastinya adalah, ia meragut ketenangan dan kedamaian hati yang seterusnya menghalang seseorang untuk merasa bahagia.

Setiap orang layak untuk bahagia. Walau dalam apa situasi sekalipun, jalan untuk menjadi bahagia itu tetap ada. Hanya mahu atau tidak sahaja. Jalan itu terbuka tidak hanya untuk remaja, tetapi untuk semua, setiap manusia yang dipinjamkan oleh Allah nafas dan umur yang menjadi kurniaNya yang tudak ternilai harganya.

Masalah hati

Bagaimana caranya? Pertama sekali, kajilah diri dan perasaan sewaktu kita dilanda ujian. Semua orang diuji. Tidak dikira status atau di mana kedudukannya. Baik diuji dengan kesenangan atau kesusahan, asasnya tetap sama. Kita sedang diuji.

Bagi kebanyakan orang, telinga sudah lali mendengar tersirat hikmah di sebalik musibah. Mata juga mungkin sudah penat membaca artikel mengenai ketabahan. Wahai sahabat, mungkin persoalan yang sebenar-benarnya adalah, kita tahu semua itu, tetapi hati kita tetap dihambat resah atau bosan yang menggila. Atau mungkin walaupun hidup kita 'fun' dengan cara hidup sendiri, kita tak dapat rasa nikmat Islam sebenarnya.

Mungkin ini dirasai oleh pelajar-pelajar biasa yang sering merasakan pelajar yang menjadi organisasi agama adalah 'alim' atau 'lain' dari mereka.

Mungkin ini dirasai oleh mereka yang menggariskan perbezaan dengan cara berpakaian antara mereka dan para 'ustaz-ustazah'.

Mungkin juga ini dirasai oleh mereka yang meletakkan jurang antara jenis buku yang dibaca oleh mereka atau kelompok yang lain.

Kita rasa susah memahami golongan yang lain. Atau kita iri hati melihat yang lain tidak dihambat satu perasaan yang kita rasa.

Sahabatku sayang, apa tujuan Allah menghadiahkan semua ini pada kita? Masihkah kita ingin menipu diri kita? Aku tahu, ini masih lagi dilabel kata-kata yang 'bosan' atau 'not my type' tetapi, benarkah semua itu?

Kita mungkin menghadapi satu masalah yang lain dari lain. Mungkin tidakpun ada masalah yang sebenar-benarnya. Cuma kita tidak tahu apa. Kita seronok dan gembira hanya bila ada yang mengisi waktu lapang kita. Hakikatnya, selepas kawan-kawan, atau adik beradik, atau apa-apa yang biasa menghibur kita tidak lagi ada, kita merasa dihambat oleh kekosongan sungguh hebat dahsyatnya.

Itulah sebenarnya masalah kita. Masalah hati.

Konflik hati

Siapa kita?

Kita adalah dia-dan-dia-dan-dia. Tidak. Bukanlah itu yang menjadi jawapan. Setiap yang bernama manusia adalah hambaNya. Dan daripadaNya kita datang dan kepadaNya juga kita kembali.

Adakalanya, kita lupa bahawa segalanya milikNya. Keluarga yang kita ada, sahabat-sahabiah yang mendampingi kita, kenalan-kenalan dan sanak saudara yang kita ada, bukanlah milik mutlak seorang hamba. Kerana dia hamba, hamba yang tiada apa dibandingkan dengan ALLAH yang Maha Berkuasa.

Hatta bagi remaja kini, kekasih yang kamu sayang itu pun, it's not yours, no matter how many times you say things like,"She's mine no matter what (^_^)" or "You belong with me...~" si dia sekalipun bukanlah milikmu. Segala-galanya adalah pinjaman, Si Tompok peliharaanmu, atau harta benda yang diberikan atau ditinggalkan untukmu, semuanya, segala-galanya adalah milikNya. Hak DIA.

Termasuklah roh dan tubuhmu sendiri. Cantik yang kau banggakan, kacak yang kau tayangkan, atau buruk yang kau sedihkan, bukanlah milikmu semata semuanya.

Sedihnya.. Terkadang kita lupa semua itu. Kita lupa tujuan kita untuk hidup yang sebenar-benarnya. Kita lupa bahawa Allah yang Maha Esa tidak pernah hantar kita ke bumi ini tanpa garis panduan dan tunjuk jalan yang jelas.

Semuanya Dia beri. Sahabat, saudara se-Islam yang ku sayangi, mungkin nikmat ketenangan dan kedamaian dalam beribadah itu tak dapat dirasai lantaran kita tidak ikhlas dalam melakukannya. Bila kita mempunyai masalah hati, kita rasa tidak tenang, masihkah kita ingin menafikannya? Allah memanggil kita?

Tak guna cantik wajah itu dengan kepala yang dibalut tudung berjuntai dengan fesyen terkini. Lilitan yang sungguh 'meriah' terlihat disana sini. Ataupun kain yang dipakai asalnya untuk menutup dan tidak mampu dilihat oleh orang lain kemudian berubah niatnya - Adakah ianya masih dalan niat untuk menutup, atau menunjuk? Mungkin anda sebenarnya rasa selesa dengan itu semua. Tetapi tenangkah, damaikah anda, sentiasa?

Masihkah ingin menipu? Bahawa kita sebenarnya sedang mempunyai masalah dalam hubungan kita dengan Allah. Hati kita sedang berkonflik dengan Allah. Allah telahpun berikan jalan untuk mendekatiNya. Ambillah masa yang ada sementara untuk mencari Dia, ingat, nafas itu adalah pinjaman dari Dia, hak Dia! Mampu diambilnya bila-bila masa.

Saya faham

Saya faham, remaja hidupnya dilalui oleh pelbagai cara. Ada yang beragama ujiannya dilalui dengan prinsipnya yang teruji. Remaja yang berada di sekolah agama mungkin suasana sekolah terganggu oleh sesuatu. Kawan yang mungkin tidak berakhlak. Remaja yang hidup bebas mungkin dihambat masalah lain. Remaja yang hidup dalam masalah keluarga mungkin tandus kasih sayang ibu dan ayah. Remaja yang mempunyai adik beradik yang ramai mungkin merasai beban yang tidak sudah-sudah.

Subhanallah, tabahnya mereka di luar sana. Namun, bukankah sia-sia andai peluang emas itu dilepaskan? Allah berikan petunjuk dalam Al-Quran, yang mengatakan kita dapat bersabar dengan ujian dengan terus-terusan bersabar dan bersolat. Solat sunat sebelum Subuh, solat Dhuha, solat sunat sebelum dan selepas Zuhur, sebelum Asar, sebelum dan selepas Maghrib, selepas Isya'.. Kemudian solat malam...

Mungkin memeningkan dan merimaskan mendengarnya! Tapi dirikannya sahaja bersama solat fardhu, lakukan semuanya dalam sehari dengan ikhlas. Tatap ayat suci. Lakukannya dahulu buat sehari! Lihatlah impak yang sungguh jauh berbeza dalam diri kita. Tenang dan sentiasa merasa kita berhubung denganNya. Lain, sungguh lain dengan solat 'bagaikan ribut' yang takkan terasa nikmatnya sampai bila-bila. Kemudian, InshaAllah, andai dapat dirasai sendiri betapa 'dekat'nya dengan Allah kita rasa, amalan itu inshaAllah lebih mudah untuk diusahakan dan diteruskan.

Ikhlaskan niat kerana Allah. Ikhlas hati untuk hidup dan mati kerana Allah. Ingat datang dan kembali kita hanya untuk Allah. Berukhuwwah kerana Allah. Segala-galanya kerana Allah. Mutlak, hanya kerana Dia!

Kerana di akhirnya, kita akan tahu, bahawa selama ini, Allah tidak pernah menzalimi kita dengan ujian dan masalah hati yang hadir pada kita. Tetapi kita, yang penuh dengan dosa ini yang menzalimi diri sendiri. Astaghfirullah.

Remaja sayang, kembalilah padaNya. Ikhlaskan hidup dan mati untukNya. Janganlah terus-terusan merasa risau untuk hidup yang fana ini. Jangan percaya pada abbreviation yang digunakan oleh golongan remaja Barat yang mengatakan You Only Live Once. Kita adalah hambaNya, masih terdapat hidup di Sana yang tidak akan berakhir, tidak akan sama dengan hidup kita yang hari ini. Kelainannya menjanjikan balasan setimpal dengan apa yang kita usahakan buat hidup kita hari ini. Yakinlah, ya? Allah Maha Mendengar. Dia Mendengar segala luahan hati kita dalam berdoa.

Dia sayangkan kita. Dia berikan jalannya. Kita manusia dimuliakan dengan kebolehan untuk membuat pilihan. Jikalau kita menafikannya, bererti kitalah yang menzalimi diri sendiri!

Astaghfirullah. Jom, cari DIA!



Mencari dan terus mencari damai yang hilang

Ilalliqa', Inshaallah

Iffah Nabiha Ahmad Jailani

25 Ogos 2012, 8 Syawal 1433 H

06:05 petang, England

Comments

Layyinul Harir said…
subhanallah! terima kasih atas perkongsian ini..=)

salam dari malaysia.=)
Sama-sama, semoga bermanfaat :)

Salam disambut :'D Allah ma'aki.
atiqah kusaini said…
I feel so touched by your writing.thanks for sharing dear sis :'(
Jazakillah ya ukhti :) Biasa-biasa sahaja.
assalamualaikum Iffah
syukran atas peringatan ini.
apa khabr iffah kini?lama menyepi...semoga dalam rahmat Allah jua

Popular Posts